SINOPSIS ARTIKEL
Era perkembangan teknologi masa kini mempengaruhi setiap bidang kehidupan. Aspek teknologi telah digabungkan dalam kurikulum sekolah sebagai satu daya usaha ke arah menyemai dan memupuk minat serta sikap yang positif terhadap perkembangan teknologi. Perlaksanaan Sekolah Bestari akan membuka ruang seluas-luasnya kepada teknologi komputer yang akan membolehkan fleksibiliti dan kepelbagaian dibina dalam sistem pendidikan.
Perubahan yang sedang melanda dunia pendidikan merubah kandungan reka bentuk kurikulum setiap mata pelajaran. Ini termasuklah pembelajaran tentang komputer perisian, menyelenggara dan memproses data serta penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran. Pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer (PPBK) ialah aturcara komputer yang menggunakan teknik-teknik kepintaran buatan untuk membantu seseorang belajar (Jamaluddin, 1989). Mikrokomputer digunakan untuk menyelenggara aktiviti pengajaran dengan berpandu kepada program yang dibentuk oleh penulis perisian. Murid berinteraksi dengan program komputer atau perisian melalui terminal (Nik Azis, 1989).
Dalam pengajaran berbantukan komputer ( CAI ), komputer boleh dianggap sebagai tutor atau guru. Dalam proses pengajaran sebenar dalam bilik darjah, guru berperanan sebagai pengajar (instructor), penerang (explaner) dan pemudahcara (facilitator). Semua peranan ini boleh diambil alih oleh komputer dalam CAI ( Abd. Rahman, 1995 ). Pengajaran berbantukan komputer melibatkan sistem tutorial, permainan dan simulasi di samping aktiviti latih tubi (PPK, 1993; Jamaludin, 1989). Penggunaan komputer dalam pengajaran matematik dapat memperkembang dan memperkayakan lagi tajuk yang diajar. Cockcroft (1982) menyarankan bahawa penggunaan komputer dalam pengajaran matematik bukan sahaja boleh memperbaiki kualiti pengajaran matematik malah penggunaan komputer juga boleh merubah kepentingan sesuatu tajuk dalam silibus matematik. Pelajar yang menggunakan komputer dalam mata pelajaran Matematik mempunyai sikap yang lebih positif terhadap dirinya dan berkeupayaan menyelesaikan masalah yang lebih kompleks. Internet pula menyediakan berbagai sumber pengajaran dan pembelajaran khususnya dalam bidang Matematik. Kementerian Pendidikan mengambil langkah untuk memperkenalkan internet kepada pelajar dan pendidik dengan melancarkan Projek Jaringan Pendidikan.
No comments:
Post a Comment